Pakai Selipar Jepun Ke Sekolah Selepas Banjir....

Salam dears,
Menitik jugak air mata raksaksa gorgon ni bila baca artikel dari Malaysian Insider ni. Dikala Mama dok sibuk menyediakan kelengkapan untuk si kembar 3 ke sekolah siang nanti, ada anak anak yang hanya berselipar jepun ke sekolah. 

Owhh sungguh tersentuh naluri keibuan ku, terbayang camna prasaan kalau anak sendiri disitu. Kuat sungguh semangat diorang semua, tetap pentingkan untuk menimba ilmu walau dalam keadaan serba kekurangan. Moga anak anak tu semua akan membesar jadi insan yang berguna & berjaya, Amin…
__________________________________________________________________

Pelajar ceria ke sekolah meskipun masih trauma ‘bah kuning’ (Source: Malaysian Insider)
Published: 11 January 2015
Keadaan serba kekurangan tidak mematahkan semangat kira-kira 200 murid Sekolah Kebangsaan Manek Urai untuk memulakan hari pertama persekolahan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Januari, 2015.
Keadaan serba kekurangan tidak mematahkan semangat kira-kira 200 murid Sekolah Kebangsaan Manek Urai untuk memulakan hari pertama persekolahan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Januari, 2015. 
Tanpa uniform dan peralatan sekolah, pelajar yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini tetap menghadiri penggal baru persekolahan yang bermula hari ini.
Walaupun perasaan mereka masih tergugat dengan bencana banjir atau "tragedi bah kuning" yang melanda hingga ramai yang hilang tempat berlindung, mereka tetap ceria melangkah ke sekolah masing-masing.
Tinjauan Bernama di sekitar Kampung Laut, Tumpat mendapati sebahagian besar pelajar hadir tanpa berpakaian seragam sekolah, namun raut wajah mereka nampak jelas gembira untuk kembali menduduki kelas setelah cuti sejak November tahun lepas.
Di Sekolah Kebangsaan Kampung Laut di sini, hampir 70% daripada 640 pelajarnya hadir ke sekolah dengan memakai pakaian biasa setelah rumah mereka ditenggelami banjir buruk itu.
Guru Besarnya, Roslan Mohamad ketika ditemui nyata gembira kerana tragedi banjir sedikitpun tidak melemahkan semangat pelajar sekolah itu untuk hadir hari ini dengan kehadiran 100% direkodkan.
"Kita benarkan mereka untuk hadir dengan pakaian biasa kerana kita faham keadaan mereka dan keluarga yang masih lagi dalam proses membersihkan rumah setelah hilang segala-galanya dalam banjir," katanya ketika ditemui pemberita di sekolah itu.
Roslan berkata pelajar yang dilanda musibah itu juga akan diberikan kaunseling oleh guru untuk terus hadir ke sekolah.
Di Kuala Krai, keadaan serba kekurangan tidak mematahkan semangat kira-kira 200 murid Sekolah Kebangsaan Manek Urai untuk memulakan hari pertama persekolahan mereka.
Dengan berseluar trek, berbaju T, berselipar jepun, tanpa buku mahupun beg galas, mereka mula tiba ke sekolah pada pukul 7.20 pagi dengan dihantar ibu bapa walaupun jalan ke sekolah masih lagi berlumpur.
Pengurusan sekolah turut mengadakan perhimpunan pada pukul 8 pagi dan menyanyikan lagu Negaraku, Selamat Sultan serta turut membaca doa selamat memohon keselamatan pada hari pertama sekolah itu mula dibuka.
Walaupun sekolah itu masih tidak dapat beroperasi dengan sempurna kerana belum mempunyai peralatan lengkap, beberapa ibu bapa turut hadir bagi mendaftar persekolahan anak-anak mereka secara manual.
Muhammad Qafari Aminarosnawi, 11, dari Kampung Manek Urai Lama berkata walaupun tiada pakaian seragam lengkap namun ia tidak menjadi masalah buat dirinya untuk memulakan sesi persekolahan hari ini.
"Saya ke sekolah hari ini nak jumpa balik kawan-kawan yang dah lama tak jumpa, juga nak jumpa guru-guru sebab baru ni cuti panjang," katanya yang turut melahirkan rasa sedih melihat sekolahnya yang masih dalam keadaan berlumpur dan mengenangkan pakaian dan peralatan sekolah yang telah dihanyutkan banjir.
Anak ketiga daripada empat itu yang kini merupakan pelajar tahun lima adalah antara mangsa lebih 500 mangsa banjir yang terperangkap di tingkat tiga sekolah berkenaan yang dijadikan pusat pemindahan banjir pada bulan lepas.
Sementara itu, guru besar sekolah tersebut Yusof Ismail berkata pihaknya telah menerima sebanyak 500 buah kerusi dan meja plastik sebagai bantuan awal daripada Jabatan Pendidikan Kelantan, semalam.
"Sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan proses pengajaran dan pembelajaran akan dilakukan dengan menggunakan peralatan yang sedia ada".
Yusof berkata sekolah berkenaan mempunyai lebih 400 murid namun berbangga dengan kehadiran hari ini memandangkan ramai yang masih trauma dengan bencana tersebut. – Bernama, 11 Januari, 2015.
__________________________________________________________________

p/s - kalau korang nak hulurkan sumbangan untuk mangsa banjir, boleh tengok Facebook Raja Shamri atau CikSiti Bawal CtRedzuan (atau baca SINI).